Friday, November 30, 2007

Tolak budaya kekerasan, asing

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, menyeru rakyat menolak sebarang budaya kekerasan dan bertindak yang asing dengan budaya permuafakatan yang diamalkan di negara ini selama ini kerana dibimbangi ia akan menjadi permulaan kepada keadaan anarki serta kacau-bilau pada masa akan datang.

Titahnya, keamanan dan kerukunan negara tidak harus dikorbankan kerana kepentingan atau matlamat perjuangan jangka pendek oleh mana-mana kumpulan, sebaliknya semua rakyat wajib menghormati undang-undang ditetapkan negara.

Baginda bertitah, perbuatan mencabar undang-undang dan institusi penguat kuasa undang-undang dengan mengimport dan memperkenal budaya kekerasan sebenarnya bukan budaya berpolitik yang sihat dan konstruktif.

Titahnya lagi, jika proses yang menghormati undang-undang dibenarkan untuk dirampas oleh kumpulan tertentu hingga proses undang-undang itu sendiri boleh runtuh, dibimbangi negara ini sedang berada pada titik permulaan untuk terheret menuju kepada satu anarki.

Sehubungan itu, baginda menyeru orang ramai supaya sentiasa mengamalkan pemikiran rasional, memilih tindakan secara rasional dalam ruang lingkup undang-undang negara dan bertiangkan budaya bangsa dalam apa juga usaha untuk membawa kebaikan. "Negara ini mencapai banyak kemenangan dan mencipta banyak kejayaan melalui budaya rundingan, budaya perbincangan dan budaya muafakat.

"Budaya bertindak yang asing dengan budaya kita hendaklah ditolak dan tidak dibenarkan bertapak di bumi ini. Seruan beta, pilihlah jalan yang baik, pilihlah cara yang baik, pilihlah kaedah yang baik dalam hasrat mahu mencapai niat yang baik," titahnya ketika mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke-160 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, semalam.

Raja Nazrin bertitah, adat tertib bernegara dan berwarga hendaklah sentiasa dihormati iaitu negara dan warga harus bertindak secara bertamadun dan sopan dengan menghormati adat tertib sedia ada manakala undang-undang negara dan institusi penguat kuasa undang-undang perlu senantiasa dihormati.

Titahnya, rakyat perlu bersyukur kerana ketika Malaysia menyambut ulang tahun ke-50, mereka terus dilimpahkan rahmat dan nikmat oleh Allah dengan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama hidup dalam suasana rukun, damai, makmur serta sejahtera dan ia perlu dipelihara sepanjang masa.

Baginda juga bertitah, kejadian jenayah dan perbuatan mengetepikan undang-undang negara, jika tidak ditangani secara tegas, boleh mengancam kestabilan dan keamanan yang sedang dinikmati di negara ini.

[Berita Harian Online]

No comments:

Post a Comment