Sunday, November 25, 2007

Sekutu Bush kalah di Australia

Berkuasa selama 11 tahun, John Howard mengaku kalah di tangan Kevin Rudd, pemimpin Parti Buruh dalam pilihan raya umum Australia baru-baru ini.

Parti Liberal pimpinan Howard menerima kekalahan teruk dengan beliau sendiri tewas di Bennelong, kerusi parlimen yang diwakilinya selama 33 tahun.

Dengan mengakui kehebatan Rudd dan menerima tanggungjawab di atas kekalahan tersebut, ramalan kekalahan Parti Liberal telah dijangka lebih awal apabila beberapa akhbar utama Australia menggesa 13.5 juta pengundi menyingkirkan Howard.

Kekalahan Howard bermakna kehilangan besar bagi Presiden Amerika Syarikat, George Bush kerana usaha memerangi keganasan tajaannya akan menghadapi halangan.

Ketika sejarah kegemilangan Howard telah berlalu dan menjadi sejarah, kini tumpuan beralih kepada Kevin Rudd, 50 tahun yang menggunakan tema kempen, "New Leadership. Fresh Ideas" bagi mengaut sokongan generasi muda yang rata-ratanya mahukan corak kepimpinan baru.

Punca kekalahan Howard boleh dikenal pasti dalam tiga isu utama yang menyebabkan pengundi beralih arah.

Kerakusan Howard membuat pembaharuan dalam undang-undang pekerjaan Australia yang mengizinkan majikan membuang pekerja dengan lebih mudah memberi khabar buruk kepada para pekerja. Apatah lagi ketika peluang pekerjaan semakin mengecil, pengenalan kontrak kerja secara individu menjejaskan gaji pekerja yang semakin rendah.

Pengenalan dasar yang tidak memihak kepada pekerja menimbulkan kesan tidak selamat kepada mereka dan menterjemahkan kebimbangan mereka di dalam pilihan raya.

Polisi luar Howard yang akrab dengan Amerika Syarikat sehingga digelar "Timbalan Sherif" dilihat sebagai anti Asia yang memberi imej negatif kepada Australia di mata negara-negara Asia yang lain.

Kegagalan Australia menandatangani Protokol Kyoto juga menjadi sebab kepada penolakan teruk pengundi yang rata-ratanya masih muda dan ingin melihat pembaharuan dilakukan.

Beberapa tahun yang lalu, ada di kalangan pendatang asing di Australia yang ditahan di penjara dan diberi layanan yang buruk. Ketegasan kerajaan Howard terhadap pendatang asing ini menerima kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan. Pendatang asing ini khususnya dari Asia dan Timur Tengah menjadi sasaran Howard kerana tekanan dalam negara yang menuntut kawalan lebih ketat ke atas kehadiran mereka ini.

Apakah yang akan mempengaruhi pembentukan dasar-dasar Rudd selepas ini?

Seorang bekas diplomat dan fasih bahasa Mandarin, Rudd cenderung mengadakan hubungan dengan Asia dan pada masa yang sama akan cuba mengurangkan hubungan dengan Britain. Beliau tidak ada halangan besar mengalakkan kemasukan pekerja dari Asia yang mana hanya membentuk 6 peratus pada 1970 berbanding sekarang.

Jadi, pengundi Asia menjadi dokongan yang kuat untuk Rudd meluaskan hubungan dengan Asia (anak perempuannya mengahwini lelaki Asia dan anak lelakinya mengahwini wanita Afrika).

Rudd juga bersikap mudah dengan golongan homoseksual dan dilihat akan memberi ruang kepada tuntutan kelompok ini dalam isu-isu berkaitan.

Belia juga bersikap lunak dengan pengguguran dan merancang membenarkan euthanasia.

Dalam menghadapi kempen perang di Iraq, beliau mengambil sikap yang bertentangan dengan Howard. Aliran ini selari dengan beberapa perubahan dalam pentadbiran di Britain, Perancis dan negara-negara sekutu Amerika yang lain di mana desakan rakyat yang mahukan peperangan ditamatkan di Iraq.

Bagi pihak pekerja, kemenangan Rudd diharap akan menterbalikkan beberapa dasar yang tidak menyebelahi mereka dan isu kebajikan akan menjadi keutamaan kepada kerajaan Rudd ini.

No comments:

Post a Comment