Saturday, November 03, 2007

Peraturan baru mampu sekat lambakan pekerja asing

Langkahkerajaan untuk mewajibkan semua syarikat swasta mengiklankan kekosongan jawatan selama dua minggu sebelum mengambil pekerja asing, jika dilaksanakan secara berkesan, boleh mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini yang kini semakin ramai dan sudah sampai ke tahap membimbangkan. Keputusan Kabinet berhubung perkara itu kelmarin sekurang-kurangnya membawa membawa dua kebaikan - pertama, memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan kedua, mengawal penambahan pekerja asing yang diambil oleh majikan mereka secara sah.

Ketika ini ada syarikat dilihat sengaja memilih untuk mengambil pekerja asing supaya tidak perlu membayar gaji yang tinggi, berbanding pekerja tempatan. Akibatnya, setelah bertahun-tahun lamanya, kini sudah ada lebih dua juta pekerja asing di negara ini. Bayangkan berapa pula jumlah pekerja asing yang mungkin berada di negara ini dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang sekiranya tiada langkah drastik diambil untuk membendung kemasukan mereka. Itu pun belum diambil kira jumlah pendatang asing yang masuk atau tinggal secara haram selepas tempoh permit mereka tamat.

Lambakan pekerja asing dan pendatang tanpa izin ini juga menyebabkan timbul pelbagai masalah sosial sehinggakan ramai orang awam kini menyuarakan kebimbangan dengan kebanjiran warga asing di kompleks beli-belah pada hujung minggu seolah-olah kita bukan berada di tanah air sendiri.

Kita berharap langkah ini juga satu permulaan bagi menangani lambakan pekerja asing dalam pelbagai sektor pekerjaan di negara ini sekarang seperti dinyatakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn. Ia tidak seharusnya terhenti di situ saja tanpa langkah susulan.

Menerusi peraturan yang diwajibkan serta-merta itu, syarikat yang memerlukan pekerja dikehendaki mengiklankan jawatan berkenaan di Bursa Buruh Elektronik kementerian selama dua minggu sebelum dibenarkan mengambil pekerja asing. Sebuah jawatankuasa ditugaskan untuk memantau agar syarikat yang memohon pekerja asing telah mengiklankan kekosongan jawatan itu di bursa berkenaan.

Agak menghairankan mengapa lambakan pekerja asing itu tidak dipantau dengan berkesan oleh jabatan berkenaan selama ini. Kerana itu, Kementerian Sumber Manusia perlu melakukan kajian bagi mengenal pasti mengapa sebahagian besar masyarakat di negara ini khususnya yang tidak berpendidikan tinggi tidak suka bekerja dalam sektor tertentu. Apakah pembangunan negara yang begitu pesat dan perubahan gaya hidup menyebabkan mereka memandangkan rendah sesetengah pekerjaan sehingga mereka lebih sanggup menganggur atau melakukan kerja lain secara haram untuk mendapat pendapatan lebih lumayan.

Kenyataan Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri, Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim bahawa keengganan kebanyakan rakyat kita untuk melakukan kerja yang susah, kotor dan berbahaya adalah satu pemerhatian menarik. Mungkin apa yang dikatakannya ada kebenarannya sehingga kita terpaksa bergantung kepada pekerja asing untuk pelaksanaan projek pembinaan selain kerja lain yang dianggap susah, kotor dan berbahaya.

Buat masa ini, kita sebenarnya tidak mempunyai pilihan dan terpaksa mengambil pekerja asing. Cuma kita berharap jumlah yang diambil dapat dikawal dan peluang utama diberikan kepada rakyat tempatan.

Serentak dengan itu adalah wajar kementerian berkenaan menyediakan pelan untuk menarik lebih ramai warga tempatan untuk sanggup bekerja keras seiring dengan semangat yang ditunjukkan pekerja asing itu. Semoga pada satu hari nanti kita tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada tenaga luar untuk membangunkan negara sendiri.

[Berita Harian Online]

No comments:

Post a Comment