Sunday, November 04, 2007

Pandangan umum tentang penyelidikan kualitatif

Penyelidikan kualitatif digunakan untuk mengkaji suasana atau proses yang sukar diukur dengan nombor seperti imej diri, tingkah laku atau perasaan ibu bapa apabila berhadapan dengan anak-anak yang nakal.

Contoh-contoh kajian seperti ini ialah bagaimana pelajar dewasa membahagikan keseimbangan antara kerja, keluarga dan pembelajaran, peranan kenaikan gaji terhadap produktiviti kakitangan kerajaan dan keberkesanan larangan kawasan merokok di kalangan pembantu am kesihatan di kawasan hospital.


Penyelidikan kualitatif mempunyai lima jenis iaitu;

1. Fenomenologi
Ia berkaitan kajian terhadap sesuatu keadaan. Ianya mungkin dalam bentuk peristiwa, situasi, pengalaman atau konsep. Fenomena yang ada walaupun banyak, kita belum dapat memahaminya dengan lebih mendalam. Biasanya pengkaji berminat ingin memahami lebih mendalam mengenai tindak balas keseluruhan manusia dan memahami pengalaman individu.


2. Etnografi
Istilah ethnos adalah dari Greek yang bermaksud manusia, bangsa atau budaya. Graphy bererti penjelasan mengenai sesuatu. Justeru, etnografi merupakan sejenis kajian lapangan yang berbentuk pemerhatian yang sering digunakan dalam kajian sosiologi dan anthropologi. Ia berkait dengan keinginan pengkaji untuk memahami pengaruh budaya ke atas tingkah laku manusia dan kesihatan.

Etnografi juga dianggap sebagai kajian paling asas dalam penyelidikan sosial. Ia juga merangkumi penjelasan bertulis mengenai sesuatu budaya tentang adat, kepercayaan, tingkah laku dan sebagainya.


3. Kajian Kes
Ia merupakan sejenis kajian untuk mengkaji dan menjelaskan satu kelompok yang kecil secara mendalam. Ia melibatkan pengumpulan maklumat yang ektensif untuk memahamkan sesuatu entiti yang dikaji sama ada individu, organisasi atau situasi di mana tingkah laku yang tidak dijangka atau tidak jelas dijadikan sebagai fokus kajian.

Kajian kes memberikan penjelasan mendalam secara deskriptif dan penghuraian satu unit tertentu. Kajian ke atas individu boleh dipelbagaikan kepada kelompok seperti penagih dadah, eksekutif, remaja delikuen atau kumpulan etnik.


Ciri-ciri kajian kes ialah ia dilakukan pada jangka masa panjang dan merangkumi keseluruhan tingkah laku yang berlaku dalam keadaan semula jadi. Jadi, ia dapat memberikan kefahaman yang mendalam.

Di samping itu memberikan takrifan dari sudut emosi terhadap situasi yang dikaji. Jadi, ia memberikan ruang untuk pengembangan idea atau hipotesis yang hendak dikaji oleh penyelidik.


4. Analisis Naratif
Ia berdasarkan pada perkataan yang digunakan oleh pembeli maklumat untuk menjelaskan pengalaman responden. Analisis naratif tidak memberi perhatian yang ketara pada kuantiti subjek sebaliknya kepadatan maklumat atau fakta, pemerinciannya, interaksi yang terlibat yang mana mungkin terlepas pandang oleh orang lain.

5.
Grounded Theory
Dua tokoh yang dikaitkan dengan kajian jenis ialah Glaser dan Strauss. Kaedah ini muncul daripada disiplin sosiologi dan sangat berguna untuk menerangkan jenis masalah yang wujud di dalam masyarakat dan proses seseorang untuk menanganinya. Kerapkali mereka berkongsi simbol dan makna-makna umum berkenaan dengan simbol berkenaan.


Dua buah buku yang menjadi rujukan penyelidikan kualitatif ialah "Qualitative Research and Case Study Applications in Education" oleh Sharan B. Merriam, seorang profesor dalam pendidikan dewasa dan pengembangan di University of Georgia, Athens, Amerika Syarikat. Bidang tumpuan beliau ialah pendidikan dewasa, pembangunan dan pembelajaran dewasa dan kaedah penyelidikan kualitatif. Di Malaysia, beliau telah beberapa kali datang ke Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Buku kedua ialah "Qualitative Research for Education: An introduction to theory and methods" oleh Robert C. Bogdan dan Sari Knopp Biklen. Manakala buku tambahan yang boleh dijadikan rujukan ialah "Penyelidikan sains sosial: Pendekatan pragmatik" oleh Sabitha Marican.

Siri-siri artikel yang akan datang adalah berkaitan penyelidikan kualitatif yang semakin mendapat tempat di kalangan pelajar sarjana, masters dan PhD.

2 comments:

  1. Anonymous6:57 AM

    Terima kasih atas pandangan anda. Kalau boleh promoted kan pandangan anda yang boleh dijadikan panduan kepada pelajar sarjana yang memerlukan pandangan lain.
    Kalau boleh buat sat bahagian mengenai penyelidikan di malaysia khususnya.
    terima kasih

    ReplyDelete
  2. Anonymous8:29 PM

    Tq, veru useful

    ReplyDelete