Tuesday, November 27, 2007

Mendapatkan kembali nilai-nilai kemanusiaan kita dengan melindungi kanak-kanak

Imran mengambil tempat duduknya di atas sebuah sofa sambil menjamah pisang goreng yang diambilnya. Dia mendongak ke atas untuk melihat pakciknya sambil mengorak sedikit senyuman kepadanya. Manakala tiga ratus batu jauh di selatan tanah air, Mei Mei cuba mendapatkan jawapan kepada soalan-soalan yang terdapat di hadapannya, matanya merenung jauh cuba mencari penyelesaian kepada salah satu soalan tersebut, dengan harapan penjaganya akan memeluknya sekiranya dia dapat memberi jawapan yang betul.

Kisah dan pengalaman yang terpaksa dilalui oleh Imran dan Mei Mei merupakan sesuatu yang dikongsi bersama beribu-ribu orang kanak-kanak lain di Malaysia, kanak-kanak yang telah kehilangan salah seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka kepada AIDS. Punca kesengsaraan mereka – penggunaan dadah melalui suntikan. Tanpa amaran, HIV telah mencerobohi kehidupan kanak-kanak ini, membunuh kedua ibu bapa mereka, dan meninggalkan mereka dengan kehidupan yang terumbang-ambing.

Kini dua dekad telah berlalu semenjak HIV mula menjejakkan diri di negara ini, dan kini ia telah membunuh seramai 9,155 orang dan telah menjangkiti seramai 76,000 orang rakyat Malaysia. Semenjak beberapa tahun yang lepas, seramai 6,000 orang dijangkiti di Malaysia setiap tahun. Walaupun kebanyakan daripada mereka adalah pengguna-pengguna dadah yang menyuntik, tetapi pada masa yang sama wujudnya satu tren yang membimbangkan, iaitu peningka orang dijangkiti di Malaysia setiap tahun. Walaupun kebanyakan daripada mereka adalah pengguna-pengguna dadah yang menyuntik, tetapi pada masa yang sama wujudnya satu tren yang membimbangkan, iaitu peningkatatan jangkitan di kalangan wanita melalui hubungan seks. Pada tahun 1997, hanya terdapat seorang wanita yang HIV positif untuk setiap 20 orang lelaki yang telah dijangkiti. Satu dekad kemudian, kadar ini telah meningkat dengan mendadak kepada seorang wanita yang HIV positif, enam orang lelaki telah dijangkiti.

Penyebaran jangkitan yang amat berkesan

“HIV kini sedang cuba untuk mengambil alih negara ini, dengan menggunakan pengguna-pengguna dadah yang menyuntik sebagai medium utama untuk membuat serangan utamanya,” kata Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr. Chua Soi Lek dan beliau menambah bahawa penggunaan dadah secara menyuntik adalah merupakan salah satu risiko yang tertinggi dikaitkan dengan penyebaran HIV.

“Terdapat peluang yang amat tinggi bagi seorang pengguna dadah yang menyuntik yang juga HIV positif untuk menjangkiti seorang pengguna dadah yang lain melalui perkongsian jarum suntikan. Sekiranya kita tidak mengendahkan perkara ini, kita seolaholah membunuh impian dan masa hadapan lebih ramai lagi kanak-kanak di Malaysia.”

Walaupun terdapat usaha-usaha pihak Kerajaan untuk mencapai negara yang bebas daripada dadah menjelang tahun 2015, namun begitu insiden penyalahgunaan dadah di kalangan mereka yang terpinggir dan miskin kelihatan semakin meningkat di Malaysia.

Kadar jangkitan yang semakin meningkat

Agensi Anti Dadah Kebangsaan telah merekodkan terdapat lebih kurang 300,000 orang pengguna-pengguna dadah di negara ini, kebanyakan daripada mereka tergolong adalah lelaki dan tergolong di dalam usia 25 dan 29 tahun. Secara tragiknya, mereka adalah golongan yang paling produktif di mana sebagai seorang anak muda mereka mencari asas kehidupan seperti pekerjaan dan juga keluarga. Menurut Menteri Kesihatan, kadar jangkitan HIV di kalangan pengguna-pengguna dadah yang menyuntik telah meningkat daripada sifar pada tahun 1986 kepada 30 peratus pada tahun 2006. Heroin, apabila disuntik secara intravena, telah menjadi pilihan dadah utama semenjak bertahun-tahun dahulu.

Walaupun Malaysia tidak menghasilkan dadah-dadah haram seperti heroin, namun begitu penggunaan dadah ini dapat dilihat dengan ketara di negara ini. Kedudukan Malaysia secara geografik adalah dekat dengan Segitiga Emas iaitu tempat yang terkenal dengan penghasilan dadah heroin, memudahkan penyeludupan dadah tersebut melalui sempadan dan memasuki Malaysia. Sebuah laporan yang dikeluarkan pada tahun 2002 bertajuk “Revisiting the Hidden Epidemic: A Situation Assessment of Drug Use in Asia in the Context of HIV/AIDS” telah memberi pendapat bahawa bot-bot nelayan daripada negara jiran di utara tanah air yang selalu berdagang di Pulau Langkawi, Pulau Pinang dan Kuala Perlis juga menyeludup dadah masuk ke negara ini.

Masalah-masalah berkembar yang dibawa oleh penyalahgunaan dadah dan HIV berkait rapat dengan kemiskinan, pergerakan masyarakat dan sumber pendapatan, seringkali berlaku apabila seseorang itu berada jauh daripada sistem sokongan mereka, iaitu untuk mencari kehidupan yang baru dan bekerja di bandar-bandar. Pengangguran dan juga pekerjaan-pekerjaan yang tidak bermaruah dan merbahaya menyumbang kepada penyalahgunaan dadah dan peningkatan risiko untuk dijangkiti HIV.

Kematian telah menjadi suatu kebiasaan

Kanak-kanak selalunya menjadi mangsa yang terpaksa menghadapinya secara senyap apabila salah seorang daripada ibu atau bapa mereka yang menyuntik dadah dijangkiti HIV. Tersembunyi daripada seluruh dunia, mereka melalui kehidupan yang sengsara apabila terpaksa menghadapi tekanan mental dan juga masalah kewangan yang disebabkan oleh penyakit ibu dan bapa mereka dan kemudiannya membawa kematian. Kebanyakan kanak-kanak ini terpaksa hidup dengan stigma dan diskriminasi yang serlalunya dikaitkan dengan penagihan dan penyakit ibu bapa mereka. Di dalam kesunyian, kesengsaraan mereka bertambah.

Untuk Imran yang kini berusia 12 tahun dan Mei-Mei yang berusia 8 tahun, kematian telah mengunjungi rumah mereka lebih daripada sekali. Kedua-dua ibu Imran dan Mei-Mei telah dijangkiti HIV daripada bapa mereka yang merupakan pengguna dadah yang menyuntik. Ibu mereka telah meninggal dunia dahulu, diikuti dengan ayah mereka. Kedua-duanya telah kehilangan adik-beradik mereka disebabkan oleh AIDS.

Kemiskinan dan tanpa ibu atau bapa untuk mendidik dan melindungi mereka, kanak-kanak yang telah menjadi yatim piatu ini terpaksa menghadapi pelbagai bentuk penderaan dan risiko, termasuklah jangkitan HIV. Tanpa sokongan daripada keluarga, sebahagian kanak-kanak ini tertekan untuk melakukan kerja-kerja yang merbahaya dan ekploitasi – termasuklah melakukan seks untuk wang, makanan, ‘perlindungan’ dan tempat untuk tinggal.

Masalah-masalah berkembar

Dato’ Dr. Chua Soi Lek melihat penyalahgunaan dadah sebagai masalah undang-undang dan juga masalah kesihatan.

“Patutnya, kita mestilah mencari keseimbangan di antara perlunya masalah penyalahgunaan dadah haram ditangani dan realiti bahawa penggunaan dadah tidak dapat dihapuskan dalam masa satu malam, oleh itu ia dikekalkan selamat. Walaupun untuk tiada sebab yang lain, sekurang-kurangnya untuk melindungi keluarga mereka dan memastikan anak-anak mereka dapat membesar dengan sokongan daripada ibu dan bapa mereka. Sekiranya tidak, lebih ramai lagi kanak-kanak akan menjadi yatim piatu. Tragedi ini terlampau besar apabila kita memikirkannya.”

Tetapi Dato’ Dr. Chua percaya bahawa harapan itu masih ada. “Pengguna-pengguna dadah yang menyuntik adalah satu kumpulan yang telah kita kenalpasti bagaimana untuk mengurangkan HIV iaitu melalui pendidikan, kaunseling, rawatan dadah, program-program gentian dadah dan lain-lain kaedah yang telah terbukti keberkesanannya di dalam mengurangkan kemudaratan akibat penyalahgunaan dadah,” kata beliau.

Kepimpinan yang amanah, yang dapat dilihat serta didengar oleh individu-individu yang mempunyai kepercayaan orang ramai adalah satu faktor yang telah membawa perubahan yang ketara di negara-negara yang telah berjaya mengurangkan kadar jangkitan virus ini.
Kepimpinan yang ditunjukkan ketika berlakunya krisis HIV/AIDS bermaksud secara perlahan-lahan perbincangan mengenai penyakit ini dapat dilakukan secara terbuka. Dan secara tidak langsung ia juga akan secara beransur-ansur memusnahkan halangan-halangan yang dibawa oleh diskriminasi iaitu sikap yang menyalahkan orang lain dan pada masa yang sama menyebabkan tersebarnya jangkitan ini. Kepimpinan akan membawa kepada pencegahan HIV dan rawatan serta penjagaan bagi mereka yang hidup dengan HIV dan juga mereka yang menerima kesan HIV.


Panduan melalui sains

Menurut Penasihat HIV/AIDS UNICEF kepada Asia Timur dan Pasifik, Cik. Wing-Sie Cheng, masyarakat perlu maju ke hadapan untuk membawa perubahan di dalam kehidupan kanak-kanak, di mana mereka perlu melepasi batasan-batasan yang disebabkan oleh ketakutan dan juga kesangsian mereka sendiri.

“Untuk bertindakbalas terhadap HIV/AIDS, kita mestilah berpandukan sains dan bukan berpandukan kejahilan dan ketakutan. Untuk menentang HIV dengan berkesan dan melakukan sesuatu yang terbaik untuk anak-anak kita, kita mestilah memberi layanan yang lebih berperikemanusiaan kepada pengguna-pengguna dadah, memberi hormat kepada mereka seperti orang-orang lain yang mempunyai keperluan, dan mempunyai keluarga,” katanya.
“Apabila kita membantu pengguna-pengguna dadah kekal bebas daripada HIV, kita juga melindungi pasangan seks mereka, anak-anak mereka dan juga masyarakat secara amnya daripada punca AIDS,” tambah Cik Cheng.


*Nama kanak-kanak di atas telah ditukar untuk melindungi identiti mereka.

[unicef malaysia]

No comments:

Post a Comment