Monday, November 26, 2007

Hala tuju Hindraf

Pertubuhan Hindu Ringhts Action Force (Hindraf) mula mengorak langkah melaksanakan strategi seterusnya dengan cuba mengumpul 100,000 orang bagi berarak di atas jalan raya, menuju ke bangunan Suruhanjaya Tinggi British untuk menyerahkan tuntutan RM27.7 trilion daripada kerajaan Britain. Dianggarkan setiap orang India Malaysia akan mendapat lebih dqri RM3 juta sebagai pampasan di atas penderitaan mereka ketika dibawa oleh British ke Semenanjung Tanah Melayu untuk berkerja sebagai buruh dan pekerja ladang estet.

Tiga bulan lepas, saya menelefon seorang rakan India dan memberitahunya bahawa Hindraf sedang berjuang menuntut wang daripada kerajaan Britain untuk diagih-agihkan kepada masyarakat India. Beliau hanya ketawa dan menyelar golongan ini sebagai berjuang untuk kepentingan diri sendiri.

Menggunakan slogan berjuang untuk kepentingan masyarakat India di Malaysia, pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy, seorang peguam ingin menjadi jaguh bagi mencapai satu cita-cita yang beliau sendiri telah lama idamkan.

Dengan jumlah 1.8 juta orang, masyarakat India di Malaysia merupakan warganegara yang memiliki segala hak dan kewajipan sebagai rakyat Malaysia yang merdeka. Mereka bebas bersekolah di mana sahaja, diberi kebenaran mendirikan rumah ibadat, mengamalkan adat dan budaya sendiri serta diberi peluang untuk menubuhkah parti politik dan mengambil bahagian dalam semua program pembangunan negara.

Jika di Indonesia, masyarakat Cina di republik itu diberikan cop "C" di atas kad pengenalan. Tetapi hal ini tidak berlaku di Malaysia. Malahan mereka diberi ruang yang luas untuk menjana ekonomi, meningkatkan status sosial dan hari Deepavali dijadikan sebagai cuti umum seluruh negara.

Jumlah masyarakat India yang kecil dan berselerak menjadikan kaum itu tidak mempunyai majoriti di mana-mana kawasan parlimen. Kawasan paling ramai pengundi India hanya di Ijok iaitu sekitar 22 peratus. Tetapi ruang yang banyak diberikan kepada mereka untuk berkongsi kuasa seperti mana yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial dahulu.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu terpaksa bergantung kepada pengundi bukan India di Sungai Siput bagi membolehkannya kekal di parlimen berkenaan selama beberapa penggal. Begitu juga dengan timbalannya, Datuk G. Palanieval di Hulu Selangor.

Hindraf yang dikhabarkan mendapat sokongan pemimpin-pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat bertegas untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran di hadapan bangunan Suruhanjaya Tinggi British walaupun tidak mendapat permit dan diperingatkan berkali-kali supaya membatalkan usaha berkenaan.

Ketua Penerangan MIC, Senator Datuk M. Saravanan mengesahkan kehadiran Lim Kit Siang pada perhimpunan penyokong Hindraf Klang sebagai bukti penglibatan DAP.

Beliau menyifatkan Hindraf sedang meracuni minda kaum muda India untuk menolak kerajaan yang ada.

Apakah perancangan Hindraf akan berjaya?

Strategi pemimpin Hindraf untuk membawa 100,000 tandatangan dan diserahkan kepada Ratu Elizabeth II, menyerahkan memorandum, mengapi-apikan kaum India dan merancang perhimpunan haram telah berjaya memberi impak besar ke atas kehadiran anggota keselamatan di ibu negara.

Polis dikerah melakukan pemeriksaan kenderaan dan sekatan jalan raya yang bermula sejak Khamis lalu menggambarkan kesungguhan mereka menghalang perhimpunan haram daripada diteruskan.

Kenapa polis bersungguh-sungguh hendak menggagalkan perhimpunan ini? Jawapannya sudah terang lagi bersuluh.

Kedudukan semasa masyarakat India

Hindraf sangat yakin bahawa kaum India telah dipinggirkan dalam pembangunan negara dalam semua bidang; pendidikan, ekonomi, politik dan sosial. Kaum India juga dirasakan jauh tertinggal berbanding kaum-kaum lain. Gengsterisme dan keciciran dalam pelajaran menjadi masalah yang sukar diatasi oleh pemimpin-pemimpin India dalam kerajaan ketika ini.

Inilah peluang yang digunakan oleh Hindraf sebagai permulaan gerakan berbahaya mereka bagi menarik sokongan dan simpati.

Hendak dikatakan kerajaan meminggirkan kaum India dan tidak mempedulikan generasi muda mereka tentu sekali tidak benar.

Kemasukan pelajar bukan Melayu ke MRSM dan insititusi kemahiran MARA adalah contoh kecil kesungguhan kerajaan hendak membantu masyarakat India. Begitu juga kemasukan ke rumah-rumah awam di mana setiap orang diberi layanan yang saksama.

Dalam pada itu pun, kerajaan masih mementingkan toleransi yang sangat tinggi dengan membenarkan pembinaan kuil-kuil yang berselerakan, pembinaan patung raksasa di Batu Caves yang tidak diketahui status keizinan daripada pihak berkuasa tempatan dan berbagai-bagai lagi.

Jika kita meronda dari persimpangan lampu isyarat di Sungai Pelek, Sepang sehingga ke kawasan rekreasi pantai Bagan Lalang, di kiri dan kanan jalan raya akan kedapatan berpuluh-puluh kuil kecil yang dibina di tepi jalan raya, bawah pokok dan kawasan perumahan. Ada sesetengahnya yang semakin membesar dan diperindahkan.

Kegagalan MIC mendokong aspirasi politik kaum India dilihat menjadi salah satu punca kepada penubuhan Hindraf. Kepimpinan MIC yang sedang selesa dengan kuasa dan kehidupan yang mewah serta status sosial yang lebih baik membuatkan mereka leka akan tanggungjawab terhadap kaum sendiri.

Perjuangan Hindraf untuk menuntut hak mereka baru sahaja bermula tetapi perjuangan MIC lebih daripada 50 tahun. Masa yang panjang diberikan kepada MIC tidak dapat memberi keyakinan kepada segelintir masyarakat India untuk keluar daripada kesempitan hidup dan kemiskinan.

Menggunakan isu perkauman untuk mendapat sokongan di Malaysia tidak akan memberi sebarang erti yang besar. Peristiwa 13 Mei 1969 menyebabkan kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi menyusun semula masyarakat. Tetapi peristiwa ini akan berulang jika ada kaum yang masih degil mengguna pakai isu perkauman bagi menghasut dengan tujuan mencipta kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam.

Kemegahan tamadun silam India adalah kerana kebijaksanaan dan keharmonian, bukannya kekerasan. Dalam masyarakat moden, kejatuhan kerajaan adalah kerana rakyat sudah bosan dengan dasar yang mengekang kemajuan, sistem ekonomi yang memiskinkan dan enggan menerima diktator seperti yang berlaku ke atas Presiden Romania, Nicolae Ceausescu yang dihukum bunuh oleh tribunal tentera negara itu pada tahun 1989.

Ke mana Hindraf selepas ini?

Hindraf memilih untuk menggunakan kekerasan dan perhimpunan haram bagi menyuarakan kehendak mereka. Tindakan ini hanya mengundang rasa cuak dan tidak selesa kaum-kaum lain. Hindraf juga dilihat sedang membina jambatan konfrontasi dengan semua rakyat Malaysia yang inginkan kemakmuran dan kedamaian hidup.

Imej samseng dan keras kepala pemimpin Hindraf akan menolak mereka ke tepi dan sangat sukar bagi pertubuhan seperti ini mendapat sokongan orang ramai. Jika pemimpin India dalam kerajaan sendiri yang menolak konsep perjuangan Hindraf, apatah lagi pemimpin-pemimpin lain.

Melihat kepada pendokong dan objektif perjuangan Hindraf, mekanisme yang mereka gunakan lebih kurang sama seperti tuntutan wanita-wanita Korea yang dipaksa menjadi pelacur kepada tentera Jepun dalam perang dunia kedua dahulu. Setelah 60 tahun peperangan tamat dan usia mereka semakin tua, tuntutan pampasan berkenaan masih lagi belum ada kesudahannya.

Sudah tentu Hindraf tidak mahu menunggu masa yang sangat lama untuk mendapatkan wang berjuta-juta ringgit itu. Jadi, jalan pintas bagi mendapatkannya ialah melalui penyertaan politik. Pilihan raya umum yang akan datang adalah gelanggang bagi Hindraf menguji populariti mereka.

Sebaik sahaja mereka melangkah ke arena pilihan raya, barulah mereka sedar bahawa mereka sedang menggali lubang kubur sendiri.

No comments:

Post a Comment