Saturday, November 17, 2007

5A bukan jaminan ke sekolah berasrama penuh

5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bukanlah jaminan untuk mendapat tempat di sekolah berasrama penuh kerana hanya 6,000 tempat yang disediakan di seluruh negara.

Tahun demi tahun, ramai pelajar yang mendapat 5A dalam peperiksaan ini khususnya di bandar. Selain mendapat segala kemudahan pembelajaran, dorongan dan semangat untuk belajar sentiasa diberikan oleh ibu bapa dan guru. Masalah bahasa Inggeris tidak banyak menjadi halangan kerana pelajar-pelajar ini telah didedahkan dengan istilah bahasa ini sejak kecil.

Pernah saya mendengar seorang kerani di sektor swasta bercakap menggunakan bahasa Inggeris dengan anaknya ketika berkelah di tepi pantai di Port Dickson. Pendedahan ini banyak memberi rangsangan kepada anak-anak kecil untuk bersedia mempelajari bahasa Inggeris walaupun dianggap susah oleh pelajar-pelajar di luar bandar.

Kejayaan Terengganu menjadi negeri terbaik dalam UPSR kali ini sukar ditandingi oleh negeri-negeri lain. Mengekalkan keputusan selama tujuh tahun berturut-turut adalah usaha yang menakjubkan kerana ia memerlukan iltizam semua pihak; guru, ibu bapa, pelajar, pegawai pendidikan daerah dan masyarakat sendiri. Sokongan semua pihak yang bersama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan kejayaan ini sangat menggembirakan.

Ada anak nelayan, pemandu lori, tukang kebun dan ibu tunggal yang mendapat 5A kerana kegigihan pelajar dan guru sekolah. Ibu atau bapa mungkin tidak ada wang untuk memberi sokongan kerana kesempitan hidup tetapi di sinilah peranan guru, Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan pemimpin masyarakat dilihat sangat berpengaruh.

Pelajar-pelajar luar bandar yang serba-serbinya kurang tetapi semangat mereka kental. Kejayaan yang diraih sejak dari sekolah inilah yang menjadi azimat penguat semangat apabila mereka menjejakkan kaki ke sekolah menengah kelak.

Kecemerlangan boleh diraih oleh sesiapa sahaja. Anak orang miskin dan kaya tidak ada bezanya jika mendapat 5A, yang beza ialah sahsiah diri dan cara berfikir. Justeru, mendapatkan kejayaan yang lebih bermakna ialah mendapat kejayaan dalam akademik dan berakhlak mulia. Sahsiah diri yang terpuji adalah jaminan kepada pembentukan generasi muda yang mampu menghadapi cabaran masa depan kerana masyarakat hari ini lebih cenderung membuat hal sendiri. Elemen mengambil berat masalah orang lain kurang diberi perhatian menyebabkan masing-masing mendiamkan diri dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

Jika tidak mendapat tempat di sekolah yang diidamkan, ianya tidak perlu dikhuatiri kerana kemudahan sekolah dan kaedah pengajaran di sekolah-sekolah harian hari ini semakin baik. Berbanding 20 tahun lalu, guru-guru semakin proaktif dan mahu mengambil cabaran untuk bersaing demi kecemerlangan pelajaran pelajar mereka.

No comments:

Post a Comment